Sebelum kita masuk ke dua strategi ni, kena faham dulu apa dia “hostile takeover”. Saya dah tulis dalam posting sebelum ini. Atau boleh klik link di sini:
[√]
Orang luar yang masuk beli saham syarikat secara agresif tanpa persetujuan lembaga pengarah asal hanya semata-mata nak kuasai syarikat.
Biasanya, dalam situasi macam ni, syarikat yang diserang ada dua pilihan utama sama ada mahu panggil kawan baik (White Knight) atau serang balik macam permainan Pac-Man (Pac-Man Defense).
[√]
White Knight dan Pac-Man Defense adalah antara strategy dalam Mergers and Acquisitions (M&A).
🦸♂️ WHITE KNIGHT - KESATRIA PUTIH PENYELAMAT
[√]
White Knight ni secara literal bermaksud "kesatria berbaju putih". Hero yang datang menyelamatkan puteri (syarikat sasaran) daripada naga jahat (pengambilalihan secara paksa).
Dalam dunia korporat pulak, White Knight adalah syarikat atau pelabur pihak ketiga yang mesra yang dipelawa oleh syarikat sasaran untuk membeli syarikat tersebut dengan syarat-syarat yang lebih baik bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan penceroboh.
⛔ Macam Mana Prosesnya Berlaku?
Syarikat A (sasaran) bernilai RM500 juta. Pengurusan A enjoy jadi boss, semua strategi berjalan lancar.
Tiba-tiba Syarikat B (Black Knight) mengumumkan mereka nak beli A dengan harga RM600 juta secara paksa.
[√]
B ni memang terkenal suka rombak pengurusan dan potong kos secara keterlaluan. Pengurusan A jadi panik.
Kemudian, Pengurusan A cepat-cepat hubungi Syarikat C iaitu pesaing yang lebih mesra atau rakan kongsi lama.
[√]
Mereka buat tawaran beli syarikat mereka dengan harga RM650 juta. Pengurusan A akan bagi semua data kewangan dan memberi sokongan penuh dengan syarat kekalkan Pengurusan A sebagai pengurus syarikat.
Syarikat C setuju.
[√]
Maka C menjadi White Knight. Mereka beli syarikat A dengan harga lebih tinggi daripada tawaran B, dan pengurusan A selamat. Syarikat B kalah, dan undur diri.
🛡KENAPA WHITE KNIGHT SETUJU NAK SELAMATKAN?
White Knight ni bukannya malaikat. Mereka juga ada kepentingan sendiri. Selalunya White Knight bersetuju untuk menyelamatkan sebab:
[√]
Mereka dapat syarikat berkualiti pada harga yang masih berpatutan (walaupun lebih tinggi dari tawaran
[√]
Masuk pasaran baru dengan mudah tak payah bina syarikat dari kosong.
[√]
Mereka boleh hapuskan pesaing.
[√]
Kalau White Knight ni pesaing utama A, membeli A bermakna mereka telah mengurangkan persaingan.
[√]
Hubungan baik dengan pengurusan yang mudah untuk berkomunikasi kerana kedua-dua pihak saling percaya.
📂 Contoh:
Kisah Benar 1
Jaguar vs Ford vs GM (1989)
Syarikat kereta mewah Jaguar mahu dijual. General Motors (GM) buat tawaran, tapi pengurusan Jaguar tak suka dengan campur tangan GM yang terlampau. Jadi, mereka pilih Ford sebagai White Knight walaupun harga Ford lebih rendah sedikit, Sebab Ford janji nak kekalkan identiti Jaguar. Akhirnya Ford beli Jaguar dengan harga US$2.5 billion.
Kisah Benar 2
Dalam konteks Malaysia
Kes AirAsia X beberapa tahun lepas di mana syarikat ada masalah kewangan, ada pihak tertentu yang berminat nak ambil alih dengan cara yang mungkin kurang mesra. Tapi, AirAsia X berjaya mencari pelabur strategik baru (seperti Tony Fernandes sendiri yang mengatur semula struktur) yang bertindak seperti White Knight untuk menyelamatkan syarikat dari jatuh ke tangan pesaing atau dicairkan.
⛔ Kelebihan White Knight Untuk Syarikat Sasaran:
✅ Harga jualan lebih tinggi kerana ada pertandingan antara B dan C.
✅ Pengurusan lama berkemungkinan dikekalkan dan White Knight biasanya akan minta kerjasama pengurusan sedia ada.
✅ Budaya korporat terpelihara dan tak ada rombakan drastik.
✅ Proses lebih cepat dan kurang tekanan dan semua pihak berbincang secara baik.
⛔ Kelemahan White Knight
❌ Perlu bayar yuran perunding (investment banker, peguam) yang mahal untuk cari dan berunding dengan White Knight.
❌ White Knight boleh tarik diri pada saat akhir dan tinggalkan syarikat dalam bahaya yang lebih besar.
❌ Ada risiko White Knight sebenarnya "musang berbulu ayam", yang mana mungkin dia hanya berpura-pura mesra, tapi lepas beli, dia buat hal sama juga.
👨💼 PAC-MAN DEFENSE - SERANG BALIK MACAM PERMAINAN ARCADE
Nama Pac-Man Defense diambil dari permainan video klasik Pac-Man. Pac-Man yang kuning bulat tu kena lari daripada hantu. Tapi bila dia makan power pellet yang berkilau, dia boleh bertukar menjadi pemburu dan makan hantu balik.
[√]
Dalam korporat, Pac-Man Defense berlaku apabila syarikat sasaran yang diserang balas balik keadaan dengan cuba membeli syarikat penyerang itu sendiri. Ini strategi undang-undang dan kewangan yang sah.
[√]
Syarikat B (Black Knight) mengumumkan tawaran beli Syarikat A pada harga RM10 sesaham.
[√]
Syarikat A menolak dan membuat keputusan berani mereka pergi ke bank, buat pinjaman ratusan juta, dan mengumumkan yang mereka nak beli Syarikat B dengan RM11 sesaham.
Ini membuatkan pemegang saham B panik dan mereka mula tertanya-tanya siapa sebenarnya yang nak beli siapa?
[√]
Kalau A berjaya beli B, maka pemegang saham B akan dapat saham A yang nilainya mungkin lebih tinggi."
Jadi, B terpaksa menghentikan serangannya dan menumpukan perhatian untuk mempertahankan diri. Ini kemudiannya memberi ruang kepada A untuk berunding semula atau mencari White Knight lain.
[√]
Ada dua pengakhiran yang mungkin berlaku, sama ada B menarik diri, atau kedua-dua syarikat duduk semeja dan buat perjanjian damai (kebiasaannya B bersetuju untuk tidak ganggu A lagi, dan A batalkan tawaran beli balik).
📂 Contoh:
✒️ Kisah Benar: Bendix vs Martin Marietta (1982)
Bendix Corporation (B) ingin membeli Martin Marietta (M) secara paksa. Kemudian, Martin Marietta bertindak balas dengan menjual sebahagian dari asetnya (bahagian simen dan agregat) dan menggunakan wang itu untuk membuat tawaran balas untuk membeli Bendix.
[√]
Keadaan jadi kucar-kacir. Dan kedua-dua syarikat saling membeli saham masing-masing.
Akhirnya, Allied Corporation masuk sebagai White Knight, membeli Bendix, manakala Martin Marietta kekal bebas. Martin Marietta kemudiannya berkembang menjadi syarikat aerospace yang besar dan sekarang menjadi sebahagian daripada Lockheed Martin).
⛔ KELEBIHAN PAC-MAN DEFENSE
✅ Serangan balik mengejutkan penceroboh lawan. Pihak lawan pula tak sangka kau ada power pellet.
✅ Memaksa penceroboh berundur sebab mereka kena fikir pasal pertahanan diri, bukan serang kau.
✅ Memberi masa dan leverage untuk rundingan di mana kau ada posisi tawar-menawar yang lebih kuat.
✅ Boleh menarik perhatian White Knight lain sebab kekacauan ni buat syarikat lain nampak peluang.
⛔ KELEMAHAN PAC-MAN DEFENSE
❌ Kos sangat mahal. Perlukan pinjaman besar (leveraged buyout). Bunga bank boleh membunuh.
❌ Risiko muflis kalau gagal. Bukan saja kena ambil alih, tapi kau berhutang berpuluh-puluh juta.
❌ Strategi ini memerlukan kelulusan pemegang saham majoriti. Tak semua pemegang saham sokong langkah gila ni.
❌ Tidak sesuai untuk syarikat kecil lawan syarikat gergasi. Dah macam budak tadika nak lawan ahli gusti.
❌ Boleh mencetuskan perang bidaan yang merosakkan kedua-dua pihak.
Yang jadi mangsa ialah pemegang-pemegang saham yang kecil.
💥 Bila Nak Guna White Knight?
Guna White Knight kalau;
(#1). Anda ada hubungan baik dengan syarikat lain yang berminat.
(#2). Anda tak nak ambil risiko kewangan yang besar.
(#3). Anda masih nak kekal dalam pengurusan atau dapat golden parachute (pampasan keluar).
(#4). Penceroboh tu terlalu besar untuk dilawan balik.
💥 Bila Nak Guna Pac-Man Defense?
Guna Pac-Man Defense kalau:
(#1). Anda banyak duit dan kaya dan ada akses kepada pinjaman murah.
(#2). Anda yakin penceroboh tu sebenarnya lebih lemah dari segi kewangan.
(#3). Anda ada masa dan sokongan padu dari pemegang saham.
(#4). Anda sanggup ambil risiko "all or nothing" sama ada menang atau mati.
[√]
Tapi realitinya, Pac-Man Defense ni sangat jarang digunakan disebabkan risiko yang terlalu tinggi. Strategy White Knight adalah pilihan yang lebih praktikal dan selamat.
[√]
Di Malaysia, kedua-dua strategi ni wujud tapi dalam bentuk yang lebih halus. Sebab struktur pemilikan bertumpu yang mana banyak syarikat tersenarai di Bursa Malaysia ada pemegang saham utama seperti KWSP, PNB, atau keluarga korporat (contoh: Genting, Sime Darby). Jadi “hostile takeover” susah nak berlaku sebab saham majoriti dipegang oleh pihak tertentu.
[√]
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ada peraturan ketat tentang pengambilalihan, termasuk wajib buat tawaran beli semua saham (mandatory general offer) jika beli 33% atau lebih. Jadi, nak buat serangan mengejut agak sukar.
Strategy White Knight lebih kerap berlaku. Contohnya, bila syarikat GLC (Government-Linked Company) bermasalah, kerajaan atau agensi berkaitan akan masuk sebagai White Knight. Atau apabila syarikat keluarga mahu menjual, mereka cari pembeli yang mesra.
[√]
Pac-Man Defense hampir tidak pernah disebabkan kos dan risiko terlalu tinggi, dan kebanyakan CEO tempatan lebih konservatif. Tambahan pula, pasaran kita kecil, jadi serangan balas boleh menyebabkan kemusnahan bagi kedua-dua pihak.
⛔ KESAN KEPADA PEMEGANG SAHAM KECIL (RETAIL INVESTOR)
Jika Syarikat Menggunakan White Knight;
[√]
Kebaikannya, harga saham biasanya melonjak kerana ada tawaran belian premium.
Keburukannya, kalau White Knight beli syarikat dengan harga tinggi, pemegang saham kecil boleh untung cepat. Tapi kalau anda sayang syarikat tu, mungkin strategi berubah lepas beli.
✒️ Jika Syarikat Menggunakan Pac-Man Defense;
[√]
Retail investor akan berdepan dengan harga saham yang akan turun naik gila-gila (volatile).
Ada peluang untung besar kalau pertahanan berjaya.
Tapi boleh juga jadi rugi besar jika syarikat terpaksa berhutang dan akhirnya muflis.
[√]
Jadi, sebagai pelabur kecil, kalau boleh kena elakkan melabur ke dalam syarikat yang terlibat dalam perang korporat sebegini kecuali kalau kita faham risiko dan ada modal lebih.
No comments:
Post a Comment