Pages

Krisis Kewangan Air Asia, Hutang, Dilema Kerajaan Dan Bailout

Artikel Reuters pada 16 September melaporkan kerajaan Malaysia sedang memantau kesihatan kewangan AirAsia. Kerajaan telah berbincang dengan Malaysia Airlines dan Batik Air mengenai kemungkinan akan menyerap sebahagian laluan AirAsia sekiranya diperlukan.

Soalan: Kalau Air Asia masih terkawal, kenapa kerajaan perlu sediakan contingency plan dengan dengan syarikat penerbangan pesaing?

Dan kalau keadaan memang membimbangkan, sejauh mana serius masalah kewangan tersebut?

1. RM18.4 BILION LIABILITI 

Menurut Reuters, AirAsia mempunyai kira-kira RM18.4 bilion liabiliti semasa pada 30 Jun 2026, tapi ada sekitar RM954 juta tunai dan baki bank.

Perbezaan ini sepatutnya menjadi perhatian. Kita bukan kena tanya adakah Air Asia masih boleh buat penerbangan atau tidak. Persoalan yang lebih penting ialah, adakah struktur kewangan Air Asia masih mampu bertahan sekiranya tekanan kos dan hutang berterusan, dan berapa lama?

Sebab syarikat penerbangan boleh terus beroperasi dan pada masa yang sama menghadapi tekanan aliran tunai yang besar.

2. AIR ASIA SYARIKAT SWASTA, KENAPA KERAJAAN PERLU MASUK CAMPUR?

Bagi sesebuah syarikat swasta, bila timbulnya masalah kewangan, prinsip asasnya ialah pemegang saham dan pihak pengurusan menanggung risiko perniagaan.

Tapi AirAsia memegang kira-kira 60% pasaran penerbangan domestik, jadi masalah Air Asia ni boleh berubah menjadi masalah nasional.

Jadi kerajaan berada di dalam dilema:

Kalau Tidak campur tangan akan ada risiko gangguan penerbangan dan kesan kepada rakyat.

Kalau Campur tangan, risikonya kerajaan akhirnya terpaksa menanggung kos menyelamat sebuah syarikat swasta. Dan pada aku kerajaan perlu sangat berhati-hati dalam membuat keputusan.

3. BILA UNTUNG DISWASTAKAN, RUGI DISOSIALKAN

Ingat lagi masa Air Asia diambang kejayaan. Nama yang naik siapa? Yang dapat anugerah siapa? Yang untung siapa?

Bab keuntungan dapat kepada pemegang saham.Tetapi bila keadaan menjadi terlalu buruk, kerajaan pula masuk menyelamat demi kepentingan awam. Kemudian, siapa yang akhirnya menanggung kos sekiranya bantuan diperlukan?

Adakah rakyat melalui wang awam? Bank? Pemiutang? Pemegang saham? Pengurusan dan pemilik sendiri? 

So, sebelum kerajaan buat tindakan seterusnya kerajaan perlu menjelaskan prinsip ini sebelum sebarang bentuk bantuan diberikan.

4. RM500 JUTA TERHUTANG

Reuters juga turut melaporkan AirAsia sebenarnya ada tunggakan at least RM500 juta kepada MAHB, termasuk caj pendaratan dan parking.

Kita kena tahu, MAHB mengendalikan infrastruktur lapangan terbang. Kalau bayaran tertunggak semakin besar, kesannya boleh menjalar kepada semua ekosistem penerbangan.

Tapi, pelik juga. Kenapa MAHB masih memberikan ruang kepada Air Asia yang mempunyai tunggakan besar? RM500 juta itu bukan sedikit. Berapa tahun agaknya AA dah berhutang? 

Sampai bila MAHB akan beri kelonggaran dan ruang kepada Air Asia? Dan atas syarat apa?

Dan adakah syarikat penerbangan lain diberikan layanan yang sama?

5. KERUGIAN RM831 JUTA

AirAsia mencatat kerugian bersih RM831 juta pada suku kedua 2026, termasuk sekitar RM331 juta kerugian pertukaran asing.

Memang benar kerugian forex tidak semestinya bermaksud wang tunai keluar pada kadar yang sama.

Tetapi ini tetap menunjukkan betapa terdedahnya model perniagaan syarikat penerbangan kepada mata wang asing, harga bahan api, kos pesawat, kadar faedah, hutang dan perubahan permintaan.

Bila banyak masalah berlaku serentak, tekanan kewangan punboleh meningkat dengan cepat.

6. MODAL US$3 BILLION?

AirAsia mungkin memerlukan sekitar US$3 billion modal baharu. Bukan sikit ya. Siapa yang akan sediakan modal? Adakah pelabur swasta? Bank? Pasaran Bon? 

Kalau kerajaan terlibat, kita juga perlu tahu apakah syarat yang akan dikenakan kepada AirAsia? Kena telus. 

Bukannya hanya ayat, “Kita bantu selamatkan Air Asia kerana Air Asia penting…”

Kita perlu tahu berapa banyak, untuk apa, siapa menerima manfaat dan bagaimana wang itu akan dikembalikan semula.

7. JANGAN ULANG SEJARAH BAILOUT KORPORAT

Malaysia ada sejarah panjang tentang syarikat “strategik” yang menghadapi masalah kewangan dan akhirnya memerlukan campur tangan kerajaan. Banyak kali terjadi. Sebab itu kes AirAsia ni perlu ditangani dengan prinsip yang jelas.

Dan aku memang tidak bersetuju untuk kerajaan bailout syarikat syarikat swasta kapitalis lebih² lagi kapitalis bangsat. 

Kalau bantuan kerajaan diperlukan sebab kepentingan nasional, bantuan mestilah datang bersama dengan “syarat, ketelusan, akauntabiliti, dan pembaharuan tadbir urus”. Bukan bagi bantuan duit dalam bentuk kewangan kosong.

8. JANGAN TUTUP MASALAH AIRASIA DENGAN POPULARITI

Masalah kewangan AirAsia tidak boleh diselamatkan dengan jumlah penumpang dan populariti. 

Walaupun ada branding yang kuat, penumpang atau pelanggan yang ramai, rangkaian penerbangan besar, tapi sesebuah syarikat boleh menghadapi tekanan kewangan. 

Kerajaan dan pelabur perlu melihat cash flow, debt maturity, lease obligations, creditor exposure, profitability dan kemampuan untuk dapatkan pembiayaan. Bukan hanya sekadar jumlah penumpang.

9. MALAYSIA AIRLINES DAN BATIK AIR

Mengikut seperti apa yang dinyataka  oleh Reuters, Malaysia Airlines dan Batik Air telah diajak berbincang mengenai kemungkinan menyerap laluan Air Asia.

Tetapi, memindahkan laluan Air Asia kepada syarikat lain bukanlah penyelesaian automatik.

Kena ada kapal terbang, slot lapangan terbang, kena ada crew, laluan perlu laluan yang menguntungkan, kos operasi yang perlu ditanggung dan penumpang pulak perlu kekal. 

Kalau Malaysia Airlines atau Batik Air mengambil alih laluan yang tidak menguntungkan, masalah tidak akan selesai, masalah itu hanya dipindahkan dari satu syarikat kepada syarikat lain.

10. ADAKAH KERAJAAN SUDAH TERLAMBAT?

Kalau katalah masalah kewangan Air Asia sudah cukup serius sampai kerajaan kena lantik perunding dan berbincang dengan pesaing, bilakah sebenarnya kerajaan mula sedar akan masalah Air Asia ini?

Dan, apa langkah yang telah dibuat sebelum sampai ke tahap contingency planning?

Adakah masalah ini baru muncul?

Atau kalau sudah lama semakin berkembang tetapi mungkin sekarang baru mendapat perhatian?

Kita sedar juga Air Asia bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan tambang murah di Malaysia. Air Asia ada kedudukan besar dalam pasaran domestik Malaysia. Kerajaan memang perlu berhati-hati dan bijak membuat keputusan. 

Tetapi kerajaan juga tidak boleh mengambil pendekatan bertentangan “AirAsia terlalu penting untuk gagal, jadi kerajaan akan selamatkan.”

Kerajaan kena fikir untuk “Selamatkan Kepentingan Rakyat”. Bukannya “Selamatkan Syarikat Kapitalis Swasta”. 

Kalau Air Asia mempunyai masalah, kerajaan perlu memastikan penerbangan domestik tidak terganggu. Tetapi kos kegagalan korporat tidak sepatutnya secara automatik dipindahkan kepada pembayar cukai.

Kalau bantuan awam akhirnya diperlukan, rakyat berhak tahu:

BERAPA?

UNTUK APA?

SIAPA YANG BERTANGGUNGJAWAB?

APA SYARATNYA?

DAN APA JAMINAN MASALAH YANG SAMA TIDAK BERULANG?

No comments:

Post a Comment