Pembelian dan Cita-Cita Mega (2012–2018)
Tapak Battersea Power Station seluas 42 ekar di tebing Sungai Thames, London, telah dibeli oleh konsortium Malaysia dengan harga £400 juta (sekitar RM2.19 billion). Konsortium ini terdiri daripada Sime Darby Property (40%), SP Setia (40%), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF) (20%). Pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) bertindak sebagai pemilik saham terbesar di sebalik kedua-dua syarikat pemaju tersebut.
Sebelum Revolusi Industri, Battersea adalah pusat pertanian yang bekalkan sayur-sayuran kepada penduduk London. Sangat terkenal dengan penanaman asparagus (yang dipanggil Battersea Bunches) dan pokok lavender.
Apabila sistem kereta api dan kilang mula berkembang pesat pada abad ke-19, kawasan pertanian ini telah bertukar menjadi kawasan perindustrian. Ada kilang kimia, kilang lilin, kilang besi, dan landasan kereta api yang besar. Kemudian bila dah menjadi kawasan perindustrian, Battersea pun bertukar menjadi kawasan kediaman kelas pekerja (working class) yang padat dengan asap kilang dan pencemaran. Kemudian di tapak ini juga sebuah stesen janakuasa arang batu besar dibina, yang dikenali di seluruh dunia.
Sejarah bangunan Battersea ada empat fasa utama.
Fasa pertama ialah Fasa Kemegahan. Ini adalah pada tahun 1929 - 1953 Dimana Battersea Power Station membekalkan 20% daripada keperluan elektrik London. Bangunan ini direka menggunakan gaya Art Deco oleh arkitek Sir Giles Gilbert Scott (pereka pondok telefon merah British) supaya kelihatan estetik dan megah seperti sebuah "istana industri".
Fasa Kedua ialah Fasa Ikon Budaya (1977) - Pada tahun ini, separuh bangunan telah ditutup, tetapi reka bentuk empat corong asap Battersea Power Station ini menjadi sangat terkenal di seluruh dunia apabila kumpulan rock legenda, Pink Floyd, meletakkan gambar bangunan ini bersama belon babi terbang jadi album cover yang bertajuk Animals.
Fasa Ketiga, Fasa Terbiar & Usang (1983 - 2011):
Fasa ketiga Battersea Power Station ditutup sepenuhnya pada tahun 1983, dan bangunan ini diisytiharkan sebagai bangunan warisan terpelihara. Disebabkan kos untuk memulihkannya bangunan ini terlalu mahal, ia terbiar usang hampir 30 tahun.
Struktur bangunan asal yang dibina pada era Art Deco (1930-an) mempunyai status Warisan Gred II*, bermakna Bangunan Asal ini dilarang untuk dirobohkan.
Fasa Keempat adalah Fasa Malaysia di mana Konsortium Malaysia iaitu (Sime Darby Property, SP Setia, PNB, dan KWSP) telah beli tapak ini pada tahun 2012 dari Ernst & Young. Pemaju utama ialah SP Setia (40%) dan Sime Darby Property (40%) manakala KWSP memegang 20% secara langsung dalam projek awal. Mereka melabur berbilion ringgit untuk mengubah bangunan kilang arang batu yang usang itu menjadi pusat beli-belah premium, apartment mewah, dan pejabat gergasi teknologi (Apple UK) yang dibuka rasmi pada tahun 2022.
Dari tahun 2012 - 2017, Battersea dibangunkan secara berperingkat. Projek dibahagikan kepada beberapa fasa (dari Fasa 1 hingga Fasa 7). Ini termasuk pemulihan bangunan Art Deco yang mempunyai Status Warisan Grade II yang (menghadkan pengubahsuaian/penyahrobohan) dannn pembinaan kawasan komersial serta kediaman di sekitar tapak. Tetapi… kos untuk pulihkan bangunan warian yang reput dan bersihkan sisa toksik industri macam BPS ni sangat tinggi dan mahal daripada jangkaan awal.
Suntikan Dana "Bailout" (2018):
Pada tahun 2018 (Januari - Disember), mungkin disebabkan kos yang tinggi, projek ini mengalami krisis wang tunai yang meruncing. Jadi, untuk mengelakkan projek ini terbengkalai di tengah-tengah kehangatan suhu politik PRU-14 di Malaysia, PNB dan KWSP telah bergabung untuk buat langkah bail out. PNB dan KWSP telah beli bangunan utama Battersea Power Station (Fasa 2) dengan suntik dana bernilai sekitar RM8.5 bilion melalui PNB Kwasa International 2 Ltd (dalam PNB Kwasa International 2 Ltd ni, PNB mempunyai 65% pegangan dan KWSP 35% pegangan). - Tarikh 17 Disember 2018.
Selepas 10 tahun, pada 12 Oktober 2022, bangunan utama Battersea Power Station dibuka. Majlis pembukaan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah, dan dihadiri oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul. Majlis pembukaan berlangsung selepas dua hari Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri, umum bubar Parlimen untuk PRU-15. Dan seperti yang kita tahu, projek Battersea ni sebenarnya sudah merentasi empat era pentadbiran PM di Malaysia, dari zaman Najib Razak, Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, hinggalah ke Ismail Sabri.
Kemudian realiti ekonomi telah bermula.
Walaupun Battersea ni berjaya tarik penyewa besar seperti Apple kat UK dan kedai-kedai mewah, pasaran hartanah London jadi slow disebabkan oleh inflasi yang tinggi dan kenaikan kadar faedah oleh Bank of England.
Memang ada cash flow untuk bayar hutang bank dan kos operasi, tapi projek ni belum hasilkan untung bersih atau dividen untuk bayar balik modal ekuiti awal sebanyak £1.4 bilion (sekitar RM7.5 - RM8 billion) yang telah disuntik oleh dana awam Malaysia. Sebenarnya, Semasa memenangi bidaan, konsortium Malaysia telah bersetuju untuk menanggung kos pembinaan lanjutan stesen kereta api bawah tanah (London Underground Northern Line extension) bernilai sekitar £250 juta (sekitar RM1.25 billion). Ini adalah salah satu sebab kenapa kos menjadi tinggi.
Disebabkan oleh tekanan pelabur di Malaysia, pada Jun 2024, seorang hartanah UK bernama Don O'Sullivan telah dilantik sebagai CEO Battersea Power Station Development Company (BPSDC). Tugas dia hanya satu saja iaitu untuk mencari jalan bagaimana untuk pulangkan balik modal pelaburan Malaysia tu.
Tetapi, bila O'Sullivan masuk, dia telah mengarahkan untuk membuat satu penilaian pasaran bebas (independent valuation) ke atas baki tanah fasa masa hadapan iaitu Fasa 4 hingga Fasa 7.
Di sinilah O’Sullivan telah menjumpai percanggahan angka yang tersangat besar.
Penilai bebas kata nilai baki fasa tersebut cuma £647 juta, tapi jumlah dalam buku akaun syarikat direkodkan setinggi £965 juta. Di sini wujud lubang perbezaan sebanyak £318 juta iaitu sekitar RM1.7 bilion. Dan mula dari ketika itu O'Sullivan mendakwa ada inventori palsu atau 'aset ghaib'.
Akaun untuk tahun 2023 menunjukkan Fasa 3C ada inventori apartment siap bernilai £220 juta, padahal fasa tu belum mula dibina pun. Fasa 7 yang dah mula dijual, dari tahun 2014 pun masih disenaraikan, sebagai aset syarikat bernilai £53 juta pada akhir 2024.
O'Sullivan membuat dakwaan, ini adalah modus operandi pengurusan tertinggi yang sengaja menggunakan taktik Capitalisation of Costs iaitu dengan mencampak kos operasi semasa yang rugi, lalu direkodkan sebagai 'kos pelaburan masa hadapan' ke atas fasa yang belum dibina. Maksudnya, kos yang sepatutnya direkod sebagai perbelanjaan (yang menunjukkan kerugian) tidak diakui sebagai kerugian. Tujuannya adalah untuk menyembunyikan kerugian sebenar daripada pemegang saham dan... untuk menyelamatkan skim bonus pengurusan.
Bila O'Sullivan bawa isu ini kepada pengurusan kanan sekitar hujung tahun 2024, dia mendakwa menerima reaksi marah dari pihak management. Akibatnya, pada 17 Disember dia telah diarah untuk menyerahkan tugas, malam Krismas dia digantung kerja, dan pada Mei 2025, O’Sullivan dipecat secara rasmi atas alasan salah laku serius (gross misconduct) dan prestasi yang lemah.
Syarikat ada menawarkan pampasan gaji 6 bulan, tapi dengan syarat O’Sullivan kena sign Non-Disclosure Agreement (NDA) atau sekatan bersuara. O'Sullivan telah menolak tawaran ini sebab dia tidak mahu berdiam diri. Sebaliknya, dia ambil tindakan agresif dengan memFailkan saman sivil kat Tribunal Pekerjaan UK.
Boleh tengok video saya sebelum ini, tentang topik undang-undang buruh UK yang kita bincang sebelum ni, yang mana Tribunal UK ada 'perisai' kuat untuk whistleblower di bawah PIDA 1998, malah tiada had ganti rugi (No Cap on Compensation). "
Apa yang berlaku, pihak Battersea dan syarikat induk menafikan sekeras-kerasnya dakwaan accounting manupulation ni. Pembelaan mereka menyatakan pemecatan O'Sullivan adalah betul disebabkan prestasi kerja dia tersangat lemah semasa membentangkan kertas strategi. Mereka menegaskan akaun syarikat sentiasa mematuhi piawaian antarabangsa (IFRS) dan disahkan oleh juruaudit luaran. Dua firma akauntan forensik bebas juga telah dilantik untuk menyiasat perkara ni dan telah merumuskan tiada sebarang salah laku dikesan.
Apa yang membuatkan kes ni jadi super-sensitive dan panas sebab Don O’Sullivan bukan saja dia menyaman syarikat, tetapi dia heret sekali empat eksekutif kanan Malaysia secara peribadi. Antaranya Tan Sri Jagan Sabapathy (Pengerusi BPSDC), Datuk Azmir Merican (CEO Sime Darby Property), dan Datuk Choong Kai Wai (CEO SP Setia). "
Kes sivil 'Bekas CEO lawan Majikan' ni akhirnya pecah ke pengetahuan umum pada April 2026 selepas laporan eksklusif oleh Sarawak Report. Kes ini berpotensi memberi implikasi kepada reputasi tadbir urus korporat Malaysia kerana ia melibatkan dana awam. Oleh sebab kes yang terlalu banyak di United Kingdom, perbicaraan penuh kes Don O’Sullivan menentang konsortium Battersea ni hanya dijadualkan bermula pada tahun 2029. Maksudnya lagi tiga tahun. Satu jangka masa yang agak lama kan. Tapi tarikh tersebut masih boleh berubah bergantung kepada pengurusan mahkamah.
Buat masa sekarang projek fizikal di London berjalan macam biasa. Tapi di Malaysia, kalau betul ada salah tadbir urus dalam projek mega besar macam ni, kerajaan mesti meletakkan institusi dana awam seperti KWSP dan PNB, KHAZANAH dan yang lain-lain di bawah perhatian yang sangat ketat oleh para pencarum dan pasaran saham tempatan. Kita nak pastikan simpanan masa depan rakyat tak hangus. Sebelum ini Khazanah dah rugi RM200 juta sebab melabur dalam eFishery.
Apa pandangan pendapat anda tentang kes mega Battersea ni? Adakah ini isu kelemahan tadbir urus (corporate governance) pelaburan luar negara kita yang kronik, atau sekadar pertikaian prestasi pekerja semata-mata?
No comments:
Post a Comment