Greenpeace mendedahkan skala kebakaran hutan dan tanah gambut Indonesia, kesan kepada kesihatan dan ekonomi rakyat, serta kaitan beberapa kawasan konsesi dengan kumpulan perniagaan Malaysia dan Singapura.
Setiap kali jerebu melanda Malaysia, kita mengulangi rutin yang sama: menutup tingkap, memakai pelitup muka, menghadkan aktiviti luar dan menunggu keadaan kembali pulih.
Mengapa krisis yang sama berulang, sedangkan kosnya ditanggung oleh orang ramai yang tidak mempunyai kawalan terhadap tanah, konsesi atau aktiviti perniagaan yang berpotensi berkaitan dengan kebakaran?
Laporan Greenpeace bertajuk When Clean Air Is Sacrificed for Global Commodities cuba menghubungkan beberapa isu yang selalu dibangkitkan secara berasingan. Kebakaran hutan dan tanah gambut, kelemahan pemulihan ekosistem, rangkaian syarikat, pengembangan projek berskala besar dan kegagalan memastikan corporate accountability.
Isu ini bukan hanya melibatkan isu alam sekitar. Ia juga melibatkan isu tadbir urus, penguatkuasaan, kesihatan awam dan tanggungjawab korporat.
Berdasarkan data pemantauan dalam laporan Greenpeace, sehingga 1 Oktober 2026, sebanyak 6,811 titik sumber jerebu yang telah direkodkan di Indonesia.
Titik-titik tersebut tertumpu di beberapa wilayah, termasuk Kalimantan, Papua dan Sumatera.
Antara kawasan yang menunjukkan angka tinggi yang menunjukkan skala dan taburan masalah yang serius ialah:
- Kalimantan Tengah: 1,728 titik sumber jerebu.
- Papua Selatan: 1,413 titik.
- Kalimantan Barat: 1,240 titik.
- Sumatera Selatan: 987 titik.
Apa tindakan pencegahan, pemantauan dan pemulihan yang telah dilaksanakan di kawasan-kawasan berisiko tinggi ini?
[√]
Krisis ini bukan hanya berlaku di Indonesia sahaja. Dalam laporan tersebut ada merekodkan tempoh jerebu yang panjang di beberapa wilayah Indonesia sepanjang Ogos hingga 1 Oktober 2026.
Antara angka yang ditunjukkan ialah:
- Kalimantan Tengah: 55 hari.
- Kalimantan Barat: 54 hari.
- Kalimantan Selatan: 46 hari.
- Kalimantan Timur: 42 hari.
- Sumatera Selatan: 35 hari.
- Jambi: 32 hari.
- Riau: 28 hari.
Di Malaysia, laporan turut menyenaraikan tempoh pendedahan kepada jerebu sehingga 1 Oktober 2026, termasuk Sarawak selama 55 hari, Sabah 16 hari, Johor dan Selangor 13 hari, serta Kuala Lumpur 13 hari.
Jelas pencemaran udara rentas sempadan boleh menjejaskan kehidupan masyarakat jauh dari kawasan kebakaran.
Laporan Greenpeace memaparkan pengalaman individu yang menunjukkan bagaimana pencemaran udara mengganggu pekerjaan, kesihatan, pendapatan dan kehidupan keluarga. Kos yang sebenar adalah ditanggung oleh rakyat.
- Nelayan di Pulau Pinang
Sharifah Hawa, yang dikenali sebagai Vivi, menceritakan bagaimana jarak penglihatan yang rendah menjadikan aktiviti menangkap ikan lebih berbahaya. Jerebu turut menjejaskan proses mengeringkan ikan dan sotong, sekali gus memberi kesan kepada kualiti hasil serta pendapatan keluarga.
- Petani di Johor
Akata Yang melaporkan bahawa tanaman sayurannya yang biasanya sedia dituai dalam kira-kira 40 hari mengambil masa 50 hingga 60 hari ketika jerebu teruk. Hasil tuaian pula merosot kira-kira separuh menurut pengalamannya.
- Keluarga dengan bayi di Kuala Lumpur
Tikka Hun menceritakan bagaimana beliau terpaksa menutup tingkap dan mengehadkan pergerakan di dalam rumah bersama bayinya yang berusia setahun kerana bimbang terhadap udara tercemar.
- Kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital
Laporan itu turut menceritakan pengalaman seorang bapa di Kuala Lumpur yang anak perempuannya dimasukkan ke hospital akibat bronkitis selepas mengalami batuk teruk dan kesukaran bernafas.
Siapakah yang akan menyediakan perlindungan, bantuan dan pemulihan kepada masyarakat yang kehilangan pendapatan atau mengalami masalah kesihatan akibat jerebu?
[√]
TANAH GAMBUT YANG ROSAK DAN LAMBAT DIPULIHKAN
Tanah gambut menyimpan sejumlah besar karbon dan memainkan peranan penting dalam sistem air serta keseimbangan ekologi.
Bila kawasan gambut dikeringkan, paras air boleh menurun dan tanah menjadi lebih mudah terbakar. Kalau kebakaran berlaku di bawah permukaan, api boleh merebak dalam lapisan gambut dan menghasilkan asap yang berpanjangan.
Kesan kerosakan ini menyebabkan:
- Pelepasan karbon dalam jumlah besar.
- Kemusnahan habitat dan biodiversiti.
- Kemerosotan fungsi ekosistem serta sistem air.
- Risiko kebakaran berulang.
- Gangguan kesihatan dan ekonomi masyarakat.
Sebab itu, pemadaman api sahaja tidak mencukupi.
Jika kawasan yang telah terbakar tidak dipulihkan dengan berkesan, punca kerentanan mungkin kekal. Pencegahan kebakaran mesti berjalan seiring dengan pemulihan hidrologi gambut, pengurusan paras air, pemulihan ekosistem dan pemantauan berterusan.
Apakah hasil pemulihan yang boleh diukur, dan siapa yang bertanggungjawab memastikan kawasan yang rosak benar-benar dipulihkan?
[√]
KEBAKARAN DI KAWASAN PROJEK BERSKALA BESAR
Salah satu bahagian yang paling penting dalam laporan Greenpeace ialah tentang perkembangan di Papua Selatan, terutamanya Kabupaten Merauke.
Greenpeace merekodkan 1,413 titik sumber jerebu di Papua Selatan sehingga 1 Oktober 2026.
Laporan itu juga menyatakan bahawa 294 titik sumber jerebu dikesan di kawasan pelepasan kawasan hutan (Forest Area Release atau PPKH) Kementerian Pertahanan, di sekitar jalan akses sepanjang kira-kira 135 kilometer yang permitnya dikeluarkan oleh Kementerian Kehutanan.
Kawasan berkenaan dikaitkan dengan lokasi yang diperuntukkan bagi projek strategik nasional berkaitan dengan penanaman tebu. Kawasan itu direkodkan sebagai belum beroperasi secara pentadbiran, tetapi mengalami kebakaran pada Ogos hingga September 2026.
Apakah status sebenar tanah dan aktiviti pembangunan di kawasan berkenaan?
Siapakah pihak yang mengawal, mengurus atau mempunyai kepentingan terhadap kawasan tersebut?
Apakah perubahan guna tanah yang berlaku sebelum kebakaran?
Adakah langkah pencegahan dan pengurusan kebakaran telah dilaksanakan?
Adakah siasatan bebas dilakukan terhadap punca kebakaran dan kesannya kepada masyarakat serta ekosistem?
Greenpeace berhujah - kebakaran yang muncul bersama pengembangan projek berasaskan tanah tidak wajar dianggap sebagai insiden biasa semata-mata.
Tapi, pengesanan kebakaran di kawasan projek tidak dengan sendirinya membuktikan projek itu atau pihak tertentu menyebabkan kebakaran. Punca, tanggungjawab dan sebarang pelanggaran undang-undang perlu dibuktikan melalui siasatan.
Mengikut anggaran Greenpeace yang dipetik dalam laporan, pelepasan daripada kebakaran Indonesia sehingga 1 Oktober 2026 mencapai kira-kira 126.88 juta tan karbon dioksida setara (CO₂e).
Antara penyumbang wilayah yang dinyatakan ialah:
- Kalimantan Tengah: kira-kira 47 juta tan CO₂e.
- Kalimantan Barat: kira-kira 31.4 juta tan CO₂e.
- Sumatera Selatan: kira-kira 20.58 juta tan CO₂e.
Indonesia berada di tempat kedua tertinggi di dunia bagi pelepasan karbon daripada kebakaran pada tahun tersebut setakat tarikh pemantauan.
Ini adalah anggaran yang bergantung pada kaedah pengiraan dan data yang digunakan.
Apabila tanah gambut yang menyimpan karbon terbakar, karbon yang terkumpul dalam tempoh panjang boleh dilepaskan ke atmosfera dalam masa singkat. Jika kawasan tersebut terus dikeringkan dan terdedah kepada kebakaran berulang, kerosakan ekologi dan risiko iklim boleh berpanjangan.
Maka, dasar iklim tidak hanya bercakap tentang sasaran pengurangan pelepasan. Perlindungan dan pemulihan tanah gambut juga perlu menjadi sebahagian daripada tindakan iklim yang boleh diukur.
[√]
RANGKAIAN KORPORAT: KAITAN MALAYSIA DAN SINGAPURA
Laporan Greenpeace mengenal pasti beberapa konsesi di Indonesia yang mempunyai hubungan dengan kumpulan perniagaan berpangkalan di Malaysia atau Singapura dan yang turut merekodkan titik sumber jerebu.
Antara yang dinyatakan ialah:
(A). PT Menteng Jaya Sawit Perdana - Kumpulan KLK
Laporan mengaitkan konsesi ini dengan kumpulan Kuala Lumpur Kepong (KLK), sebuah kumpulan perladangan Malaysia. Sebanyak 19 titik sumber jerebu sepanjang enam hari direkodkan di konsesi tersebut dalam tempoh pemantauan yang dilaporkan.
(B). PT Damai Agro Sejahtera - Kaitan Bumitama Agri
Laporan mengaitkan konsesi ini dengan Bumitama Agri Ltd, kumpulan perladangan yang berpangkalan di Singapura. Sebanyak 29 titik sumber jerebu sepanjang tujuh hari direkodkan antara 21 Ogos hingga 11 September 2026.
(C).PT Kayung Agro Lestari - Kaitan First Resources/ANJ/Fangiono
Laporan menyatakan bahawa 25 titik sumber jerebu sepanjang tujuh hari dikesan dalam tempoh yang dilaporkan. Ia turut memetik data Atlas Nusantara/The TreeMap yang merekodkan kira-kira 487 hektar kawasan terbakar pada Julai hingga Ogos 2026.
(D). PT Mitra Karya Sentosa - Kaitan Fangiono Family/First Resources
Laporan merekodkan 10 titik sumber jerebu sepanjang enam hari di konsesi ini.
(E). PT Arjuna Utama Sawit - Kaitan First Borneo Plantations
Laporan merekodkan lapan titik sumber jerebu sepanjang tiga hari di konsesi ini.
Laporan itu juga menyebut rekod kawasan terbakar bagi tempoh 2015-2019 yang dikaitkan dengan beberapa kumpulan perniagaan Malaysia. Bagi Genting Plantations, angka yang dinyatakan ialah kira-kira 17,700 hektar; bagi TSH Resources melalui PT Bulungan Citra Agro Persada, kira-kira 6,100 hektar.
Rekod 2015 - 2019 tidak boleh disamakan dengan bukti yang syarikat berkenaan menyebabkan kebakaran pada 2026.
Hubungan pemilikan atau perniagaan dengan sesuatu kumpulan tidak bermaksud syarikat induk secara automatik bertanggungjawab atas setiap kebakaran di konsesi. Hubungan korporat, kawalan operasi, kewajipan undang-undang dan bukti punca kebakaran mesti diperiksa secara berasingan.
Pendedahan ini menyediakan asas untuk soalan yang lebih khusus mengenai ketelusan pemilikan, pengurusan konsesi, langkah pencegahan, tindakan selepas kebakaran dan pelaksanaan komitmen alam sekitar.
[√]
SIAPA YANG SEPATUTNYA MEMBAYAR KOS PEMULIHAN?
Bila berlaku kebakaran, kosnya akan tersebar kepada banyak pihak.
Penduduk menanggung risiko kesihatan. Petani dan nelayan berdepan kehilangan pendapatan. Kerajaan perlu menggerakkan pasukan pemadaman, perkhidmatan kesihatan dan tindakan kecemasan. Negara jiran pula menanggung kesan pencemaran udara yang merentasi sempadan.
Dalam masa yang sama, komoditi pertanian dan hasil industri berasaskan tanah terus menjadi sebahagian daripada ekonomi serantau dan pasaran global.
Ianya bukan sama ada industri komoditi perlu atau tidak. Ini sama ada keuntungan ekonomi diperoleh dengan standard alam sekitar yang mencukupi, dan sama ada pihak yang bertanggungjawab benar-benar menanggung kos kerosakan yang terbukti berpunca daripada aktiviti mereka.
▪️Antara perkara yang sepatutnya didedahkan kepada umum ialah:
- Sempadan konsesi dan pemilik benefisial sebenar.
- Rekod titik panas dan kawasan terbakar mengikut konsesi.
- Langkah pencegahan kebakaran dan hasil pelaksanaannya.
- Status pemulihan tanah gambut serta kawasan yang rosak.
- Tindakan pembetulan selepas kejadian.
- Keputusan siasatan dan penguatkuasaan apabila pelanggaran dibuktikan.
Ini membolehkan orang ramai menilai prestasi sebenar.
[√]
APA YANG DITUNTUT DALAM LAPORAN GREENPEACE?
Laporan Greenpeace mengemukakan beberapa cadangan dasar kepada Indonesia, Malaysia, Singapura dan ASEAN.
🇮🇩 Untuk Indonesia
- Menghentikan eksploitasi tanah gambut yang merosakkan ekosistem dan memulihkan kawasan terjejas.
- Menilai semula pelaksanaan projek strategik nasional di kawasan ekosistem gambut.
- Memastikan syarikat melaksanakan tanggungjawab terhadap konsesi masing-masing, termasuk pemulihan ekosistem.
- Memperketat audit alam sekitar oleh institusi pembiayaan.
- Memastikan kerajaan memenuhi tanggungjawab melindungi alam sekitar.
🇲🇾 Untuk Malaysia
- Menggubal undang-undang udara bersih yang komprehensif untuk menangani pencemaran udara rentas sempadan.
- Mengukuhkan akauntabiliti perniagaan Malaysia yang beroperasi di luar negara.
- Meningkatkan ketelusan dan tadbir urus alam sekitar sepanjang rantaian bekalan.
- Memperjuangkan hak terhadap udara bersih serta kerjasama serantau yang lebih berkesan.
Untuk Singapura
- Menggunakan undang-undang jerebu rentas sempadan dengan lebih berkesan.
- Memperketat pendedahan alam sekitar oleh syarikat tersenarai.
- Membantu komuniti yang terjejas serta memperkukuh usaha pencegahan kebakaran.
🌎 Untuk ASEAN
- Memperkukuh pengiktirafan terhadap hak kepada alam sekitar yang bersih dan sihat.
- Mempertingkat komitmen undang-undang di peringkat nasional dan serantau.
- Memastikan perjanjian serantau diterjemahkan kepada tindakan serta penguatkuasaan yang berkesan.
🏢 Untuk syarikat
Laporan turut mencadangkan pengukuhan standard NDPE - No Deforestation, No Peat and No Exploitation yang merangkumi operasi, anak syarikat dan rantaian bekalan, termasuk operasi luar negara.
Antara langkah yang dicadangkan ialah pendedahan sempadan konsesi dan beneficial ownership, pelaporan insiden kebakaran, siasatan terhadap aduan, pemulihan kesan yang disahkan dan pengesahan bebas terhadap prestasi alam sekitar.
Cadangan ini perlu dinilai dari segi pelaksanaan, kuasa penguatkuasaan, ukuran prestasi dan kewajipan pelaporan.
Pengumuman dasar sahaja tidak mencukupi jika hasilnya tidak boleh disemak.
🇲🇾 UNTUK KERAJAAN MALAYSIA
Malaysia bukan sekadar negara yang menerima kesan jerebu. Sebahagian kumpulan perniagaan Malaysia turut mempunyai kepentingan dalam sektor perladangan serantau.
Oleh itu, kerajaan perlu menjawab beberapa persoalan:
1. Apakah mekanisme undang-undang yang benar-benar boleh digunakan apabila operasi luar negara mempunyai kaitan yang terbukti dengan pencemaran udara rentas sempadan?
2. Apakah status usaha menggubal undang-undang udara bersih yang komprehensif, termasuk perlindungan terhadap jerebu rentas sempadan?
3. Bagaimanakah kerajaan memastikan beneficial ownership dan hubungan kumpulan korporat dapat dikenal pasti dengan jelas?
Adakah syarikat yang mempunyai rekod risiko alam sekitar diwajibkan mendedahkan insiden kebakaran dan tindakan pembetulan secara konsisten?
4. Apakah bentuk kerjasama Malaysia - Indonesia - Singapura yang boleh memastikan siasatan, perkongsian data dan tindakan undang-undang tidak terhenti di sempadan negara?
5. Bagaimanakah masyarakat yang kehilangan pendapatan atau mengalami kesan kesihatan akan dibantu?
Ini bukan soal menuduh semua syarikat atau menyalahkan satu negara secara menyeluruh.
Ini soal memastikan tanggungjawab tidak hilang di sebalik struktur korporat yang kompleks, sempadan negara atau janji kelestarian yang sukar diukur.
Laporan Greenpeace 2026 mengemukakan satu gambaran yang kebakaran hutan dan tanah gambut bukan hanya masalah pemadaman api. Ini sangat berkait dengan keadaan ekosistem, guna tanah, pemulihan, pengawasan konsesi, kepentingan perniagaan dan keupayaan kerajaan menguatkuasakan undang-undang.
Titik sumber jerebu bukan bukti adanya pembakaran sengaja. Hubungan pemilikan bukan bukti automatik kesalahan. Rekod kawasan terbakar pula perlu dinilai mengikut tempoh, kaedah pemetaan dan sumber data.
Tetapi perkara-perkara ini cukup untuk menuntut ketelusan, siasatan yang bebas dan penjelasan yang boleh disemak.
Jika syarikat mendapat manfaat daripada penggunaan tanah dan pengeluaran komoditi, apakah mekanisme yang memastikan risiko alam sekitar dikawal, kerosakan dipulihkan dan pihak yang terbukti bertanggungjawab menanggung akibatnya?
Dan jika udara yang tercemar merentasi sempadan, adakah undang-undang serta kerjasama serantau kita benar-benar cukup kuat untuk melindungi rakyat?
Rakyat tidak sepatutnya terus menanggung kos kesihatan, kehilangan pendapatan dan gangguan kehidupan setiap kali jerebu kembali.
Udara bersih ialah kepentingan awam. Akauntabiliti korporat bukan pilihan. Dan pemulihan alam sekitar mesti dibuktikan melalui hasil, bukan janji semata-mata.
No comments:
Post a Comment