Pages

Bila sekolah bukan lagi pilihan

Semasa aku teman suami makan tengah malam tadi aku ternampak sekumpulan budak-budak yang aku agak lebih kurang sebaya atau tua setahun dua dari Hanif melepak di meja seberang meja kami.

Tiba-tiba suami aku kata, "Budak-budak ni lebih kurang baya Hanif. Ada seorang tu umur sama dengan Hanif, sepatutnya Tingkatan 5 tapi dah tak bersekolah. Budak ni tinggal tak jauh dari rumah blok kita je..."

Aku pun macam oohh... Bukan aku kenal pun. Aku memang tak beberapa kenal orang area rumah aku. Orang kenal aku sebagai menantu Nenek/Mak Cik Milah. Tapi aku tak kenal orang. Sebab dari dulu aku jenis keluar pagi balik malam.

Kemudian aku tanya suami aku, "Kenapa dia tak sekolah??" Soalan aku pun kan. Suami aku kata, "Tak tahulah..."

"Dah tu kalau umur sebaya Hanif dia kerja sebagai apa kalau tak sekolah?"

Laki aku pun jawab, "Entah...."

Aku jadi kesian dan rasa sayangnya umur muda ada peluang bersekolah tapi tak sekolah. Tengah malam keluar melepak di kedai mamak sampai pagi. Keesokkan harinya bangun lambat, dan begitulah seterusnya.

Tapi, kita tak boleh salahkan anak ini dan tak boleh juga salahkan keluarga dia. Ada banyak faktor yang menjadi penyebab kenapa ada anak-anak miskin bandar tidak bersekolah.

Kawasan rumah aku ni kawasan flat. Tengok anak-anak umur 8-12 tahun merayap tengah malam itu biasa. Anak jiran atas rumah aku umur bawah dari Hanif pun dah bawak motorsikal tanpa lesen ke sana ke sini. Masa umur 9 - 11 tahun aku selalu jumpa anak ini naik basikal pukul satu dua pagi. Ada yang sebaya Hadif pun dah mula melepak di kedai mamak dengan kawan-kawan.

Point aku kat sini, bila anak-anak miskin bandar tercicir dari persekolahan, banyak masa mereka akan terbuang dengan begitu saja tanpa hala tuju. Lagi lama mereka melepak, lagi jauh peluang untuk anak-anak ini kembali ke sekolah. Mereka akan hilang motivasi dan lebih suka gaya hidup lepak daripada ke sekolah.

Bila tak bersekolah, anak-anak ini akan isi aktiviti yang murah dan senang. Kedai mamak akan jadi tempat berkumpul sebab makanan seperti roti canai dan air yang murah. Dan mereka rasa ada komuniti bila berkawan sesama mereka.

....dan akhirnya membentuk kitaran kemiskinan dan masalah sosial bandar. Tidak ada siapa yang patut dipersalahkan secara individu, sebab isu ini adalah masalah struktur & sosial.

Ini adalah hasil gabungan faktor: kemiskinan, jurang bandar, tekanan keluarga, sistem pendidikan, dan persekitaran sosial.

Lembaran Diari Kemiskinan 
Siti Zulaikha Olivia
25 Ogos 2025

No comments:

Post a Comment